Skip Ribbon Commands
Skip to main content

MSD News and Current Issues

Manage PermissionsManage Permissions
1 JUN 2017 - PROGRAM MENTAKMIR MASJID DI BULAN RAMADHAN MAJLIS TADARUS JABATAN PERDANA MENTERI DAN JABATAN-JABATAN DI BAWAHNYA BAGI TAHUN 1438H / 2017M

Bandar Seri Begawan, 1 Jun 2017 - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini memulakan Majlis Bertadarus sempena bulan Ramadhan bagi Tahun 1438 Hijrah / 2017 Masihi di Masjid Kampung Belimbing, Subok.

Hadir pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan.


Turut hadir, Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mohd. Roselan bin Haji Mohd. Daud, Juruaudit Agung, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap di JPM, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan JPM serta jabatan-jabatan di bawahnya.

 

Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan wakaf berupa satu unit penapis air, sebuah penyejuk udara dan sebuah mesin penyedut hampagas dan beberapa peralatan elektrik. Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan kepada Imam Masjid Kampung Belimbing, Pengiran Haji Mohammad Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar.

Acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan bacaan Tadarus Al-Quran, dan kemudian diselajurkan dengan Majlis Bertahlil, bacaan Doa Arwah dan bacaan Doa Selamat yang diakhiri dengan acara bebuka puasa dan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.

Majlis tersebut dikendalikan bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Korporat dan Perkhidmtan Awam, Bahagian Ekonomi & Kewangan, Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Audit, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Pengurusan dan Institut Perkhidmatan Awam.

Majlis-majlis keagamaan pada bulan Ramadan seumpama ini adalah salah satu daripada aktiviti tahunan JPM yang bertujuan bagi mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan serta jemaah masjid dan penduduk kampung, di samping bagi sama-sama mendapatkan ganjaran pahala dan keberkatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam bulan yang mulia ini.

Attachments