Skip Ribbon Commands
Skip to main content

MSD News and Current Issues

Manage PermissionsManage Permissions
19 JUN 2019 - SESI PERKONGSIAN AMALAN TERBAIK PROGRAM PENGGREDAN PRESTASI SEKTOR AWAM [3PSA] MELALUI PENARAFAN BINTANG 2019

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun 2019 – Jabatan Perkhidmatan Pengurusan [MSD], Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Program Penggredan Prestasi Sektor Awam [3PSA] Melalui Penarafan Bintang pada hari Rabu, 14 Syawal 1440 / 19 Jun 2019 dan Khamis, 15 Syawal 1440 / 20 Jun 2019 di Dewan An-najah, Institut Perkhidmatan Awam [IPA]. 


Antara tujuan sesi perkongsian ini adalah untuk mempromosikan dan meningkatkan kefahaman 3PSA kepada warga Perkhidmatan Awam, terutamanya ketua-ketua jabatan di samping untuk mengongsikan amalan-amalan terbaik [best practices] yang dilaksanakan oleh jabatan-jabatan yang telah melalui Penilaian 3PSA.  Perkongsian ini seterusnya juga diharapkan dapat memberi peluang jabatan-jabatan kerajaan untuk mengambil pengajaran dari amalan terbaik tersebut dan dijadikan sebagai benchmark dalam menambahbaik pengurusan organisasi masing-masing.


Forum Sesi Perkongsian merupakan acara utama sesi ini yang dimulakan dengan Mukadimah 3PSA termasuk pencapaian dan hala tuju 3PSA yang dibentangkan oleh Yang Mulia Awang Aminuddin bin Haji Buntar, Pengarah Perkhidmatan Pengurusan yang juga bertindak selaku Pengerusi Forum.  Ianya diikuti dengan pembentangan oleh jabatan-jabatan yang telah dinilai dan memperolehi pencapaian tertinggi mengikut skop 3PSA, kecuali bagi Skop 3 Sumber Manusia. 


Skop 1 Strategi dan Pelaksanaan telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Azmi bin Haji Hafneh, Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Skop 2 Dasar dan Pelaksanan yang dibentangkan oleh Yang Mulia Dayang Norzanah binti Haji Hambali, Pemangku Pesuruhjaya Tanah dan Yang Mulia Awang Haji Saharuddin bin Haji Patra telah membentangkan Skop 4 Pemedulian Pelanggan.  Pembentangan mereka menyentuh mengenai inisiatif jabatan masing-masing sebagai persediaan dan yang sedang / akan dilaksanakan sebagai kesinambungan [continuity] dalam memastikan peningkatan prestasi, kualiti dan produktiviti jabatan. 

Bersesuaian dengan peranan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Institut Perkhidmatan Awam telah dijemput untuk membentangkan hal berkaitan Rancangan Penggantian, kaedah pengiraan 7.5 jam bekerja sehari dan latihan / pembelajaran.  Mewakili Jabatan Perkhidmatan Awam adalah Yang Mulia Dayang Hajah Siti Mardynah binti Haji Ibrahim, Penolong Pengarah Pembangunan dan Pengurusan serta Yang Mulia Dayang Faezah binti Haji Awang Jumarali, Pegawai Pentadbir Tingkat 1 dan wakil dari Institut Perkhidmatan Awam, Yang Mulia Dayang Hajah Siti Rozidah binti Jalani, Pegawai Latihan Kanan. Forum diakhiri dengan sesi soal jawab.

Terdahulu sebelum itu, Yang Mulia Awang Aminuddin bin Haji Buntar, Pengarah Perkhidmatan Pengurusan telah menyampaikan ucapan alu-aluan yang diikut dengan ucapan dari Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku tetamu kehormat majlis.

Sesi perkongsian ini disasarkan untuk ketua-ketua jabatan, timbalan-timbalan ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan.

 

 
Gambar adalah ehsan dari Jabatan Penerangan



Attachments