Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksWawasan Perkhidmatan Awam Abad Ke-21

       logo wawasan

WAWASAN PERKHIDMATAN AWAM ABAD KE 21

Untuk menjadikan Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam yang sentiasa membangun dan berusaha dengan gayanya tersendiri menurut calak Islam dalam persekitaran yang sihat dan selamat di bawah inayah dan petunjuk Allah Subhanahu Wataala.

MATLAMAT WAWASAN

Mewujudkan Perkhidmatan Awam yang mempunyai iltizam untuk memberikan khidmat bakti, berkualiti, berkesan, cemerlang, berakhlak dan beretika di dalam pentadbiran Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sehingga berjaya melahirkan negara aman makmur dan mendapat keampunan dan berkat dari Allah Subhanahu Wataala

PERANAN WAWASAN

Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam yang merupakan sebagai jentera penggerak pentadbiran Negara ini memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Selaras dengan itu, Perkhidmatan Awam perlu meneruskan peranan tradisinya sebagai pemelihara keamanan, penguatkuasa undang-undang, pengawalatur dan penyedia perkhidmatan.

Walaubagaimanapun, mengambilkira akan tuntutan persekitaran yang semakin mencabar dan penuh dayasaing, peranan Perkhidmatan Awam itu sendiri perlu menjalani perubahan minda dan sikap. Perkhidmatan Awam perlu berperanan atau bertindak sebagai pemudahcara; pengembangmaju dan pembawa pembaharuan dan pemikir.

FOKUS WAWASAN

f wawasan

DASAR

Dasar dimaksudkan sebagai dasar-dasar, peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk dilaksanakan dan seterusnya digunakan sebagai panduan dan asas dalam merancang, menilai, memantau, mentadbir dan mengurus program-program, aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan Perkhidmatan Awam.  Sebagai contoh Dasar Menilai Prestasi Kakitangan; Dasar Latihan Dalam Perkhidmatan; Dasar Gaji; Dasar Kenaikan Pangkat; Peraturan-peraturan Kewangan; Peraturan Pegawai-pegawai Kerajaan; Peraturan Pengurniaan Pingat-pingat dan Bintang-bintang Kebesaran, Dasar Penggunaan Teknologi Maklumat (IT) dalam Perkhidmatan Awam dan seumpamanya.

STRUKTUR ORGANISASI

Penelitian semula ke atas  struktur organisasi dimaksudkan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan organisasi serta kualiti penyampaian perkhidmatan bagi memenuhi kehendak dan kepuasan hati orang ramai.  Penekanan di sini ialah supaya setiap Kementerian / Jabatan menghindari struktur organisasi yang terlalu banyak hirarki, bertangga-tangga sehingga menjejaskan atau melambatkan pembuatan keputusan dan tindakan di dalam organisasi berkenaan dan juga perkhidmatannya kepada orang ramai.  Selain itu penelitian ke atas tugas-tugas / proses-proses / sistem-sistem / prosedur-prosedur bagi maksud mempermudahkan dan mempercepatkan serta mengelakkan duplikasi atau kerja bertindih-tindih, meneliti perkhidmatan Kementerian / Jabatan yang mungkin boleh diswastakan dan seumpamanya.

PERLAKUAN ORGANISASI

Penumpuan kepada perkara-perkara ke arah pembangunan sumber manusia, terutama di segi kecekapan, keupayaan, kemahiran kelayakan dan sikap serta tingkah laku pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam.  Semua ini adalah penting memandangkan pegawai / kakitangan adalah merupakan tulang belakang Perkhidmatan Awam itu sendiri iaitu siapa yang akan melaksanakan program-program atau aktiviti-aktiviti dalam Perkhidmatan Awam.  Disebabkan itu keprihatinan perlu diberikan kepada sumber tenaga manusia sebagai contoh disegi latihan, kebajikan, pengiktirafan dan seumpamanya.

STRATEGI

Beberapa strategi pengurusan perlu diatur bagi memastikan kesinambungan ke arah usaha mencapai wawasan dan matlamat Perkhidmatan Awam Abad Ke-21. Strategi yang perlu diperkembangkan hendaklah melibatkan usaha-usaha inovatif bagi mengemaskini dan menambahbaikan dasar dan struktur, disamping mewujudkan kesan positif terhadap pelakuan organisasi. Di antara strategi berkenaan ialah:

  • Rukun Akhlak dan Etika Kerja Perkhidmatan Awam
  • Rancangan Penelitian Semula Ke Atas Perkhidmatan Awam
  • Penelitian Semula Ke Atas Undang-undang dan Peraturan-peraturan
  • Kumpulan Kerja Cemerlang
  • Tekad Pemedulian Orang Ramai
  • Pembangunan Sumber Manusia
  • Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam
  • Dan lain-lain strategi yang disediakan ke arah penambahbaikan dan pembaharuan Perkhidmatan Awam


MEKANISME

mekanisme