gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

BANDAR SERI BEGAWAN, 29HB. OKTOBER 2026 – Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-33 telah diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dan salah satu kemuncak sambutan berkenaan adalah pengurniaan sijil pengiktirafan Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang kepada agensi yang telah mencapai prestasi tiga (3) dan empat (4) bintang iaitu pada tahap “Baik” dan “Sangat Baik” bagi sesi penilaian Tahun Kewangan 2025/2026.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan sijil pengiktirafan kepada lima (5) agensi Kerajaan yang telah memperolehi pencapaian pada tahap tiga (3) dan empat (4) bintang.

Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah diiktiraf mencapai empat (4) bintang pada tahap “Sangat Baik”. Manakala tiga (3) agensi yang telah diiktiraf mencapai tiga (3) bintang pada tahap “Baik” adalah Jabatan Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK), Kementerian Pendidikan; dan Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Pencapaian ini merupakan jumlah tertinggi agensi yang memperoleh pengiktirafan sekurang-kurangnya tiga (3) bintang dalam satu Tahun Kewangan sejak pelaksanaan Program 3PSA.

Sebanyak sepuluh (10) agensi telah dinilai pada Tahun Kewangan 2025/2026, termasuk tujuh (7) agensi yang menjalani penilaian susulan. Daripada tujuh (7) agensi tersebut, lima (5) agensi telah menunjukkan peningkatan skor keseluruhan berbanding penilaian sebelumnya. Pencapaian ini selaras dengan pendekatan 3PSA yang berorientasikan penambahbaikan berterusan (developmental) dalam usaha meningkatkan prestasi organisasi dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

Program 3PSA merupakan sistem penilaian prestasi agensi Kerajaan melalui penarafan bintang yang bertujuan memperkukuhkan akauntabiliti, meningkatkan produktiviti dan memupuk budaya penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan awam. Pelaksanaan program ini turut mendukung pencapaian Wawasan Brunei 2035, khususnya Matlamat Kedua, iaitu Kehidupan Rakyat yang Berkualiti Tinggi, dan Matlamat Ketiga, iaitu Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan, melalui penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, berkualiti dan responsif terhadap keperluan rakyat serta sektor perniagaan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Sijil Pengiktirafan Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang kepada
Yang Mulia Dayang Rokiah binti Haji Angas, Pemangku Pengarah Kajicuaca,
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
– Gambar daripada Jabatan Penerangan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Sijil Pengiktirafan Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang kepada
Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam,
Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama
– Gambar daripada Jabatan Penerangan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Sijil Pengiktirafan Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang kepada
Yang Mulia Awang Hassan Baha bin Haji Umar, Pemangku Pegawai Daerah Temburong,
Jabatan Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
– Gambar daripada Jabatan Penerangan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Sijil Pengiktirafan Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang kepada
Yang Mulia Awang Haji Mohd Fadzillah bin Haji Abdullah, Penolong Pengarah selaku
Setiausaha Kerja Urus Setia Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan,
Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Kementerian Pendidikan
– Gambar daripada Jabatan Penerangan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan Sijil Pengiktirafan Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang kepada
Yang Mulia Dayang Hajah Ilyasuriani binti Dato Paduka Haji Hamdani,
Pemangku Pengarah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan,
Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
– Gambar daripada Jabatan Penerangan.