Bandar Seri Begawan, 18hb. April 2026 – Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah / 2026 Masihi, salah satu acara tahunan di bawah kendalian Badan Keugamaan, Sosial dan Sukan MSD. Penganjuran majlis ini bertujuan bagi mengeratkan silaturahim sesama warga Jabatan dan menjadi wadah untuk menyemai semangat perpaduan serta menyampaikan penghargaan kepada pegawai dan kakitangan atas sumbangan bakti mereka.

Atur cara majlis dimulakan dengan sesi bergambar ramai, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat, ucapan Pemangku Pengarah Perkhidmatan Pengurusan, Yang Mulia Pengiran Mohammad Fadly Harfinie bin Pengiran Haji Mohammad Kassim, dan seterusnya menikmati jamuan sambil diserikan dengan beberapa aktiviti.

Acara kemuncak majlis adalah Penyampaian Anugerah Pekerja Terbaik (APT) MSD bagi tahun 2026, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai serta kakitangan yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang, komitmen tinggi, dan sikap positif dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.
Penerima APT dinilai berdasarkan beberapa kriteria termasuk prestasi kerja, kesungguhan dalam melaksanakan tugas utama, kesediaan membantu di luar skop jawatan, serta keperibadian yang amanah, jujur, bertanggungjawab dan boleh dipercayai. APT juga menilai sejauh mana penerima menerapkan nilai-nilai utama MSD, iaitu Integriti, Kualiti, Pemacu Perubahan dan Pemedulian.
Anugerah ini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Kumpulan A bagi pegawai dalam Bahagian II, Kumpulan B bagi pegawai dari Bahagian III, dan Kumpulan C bagi kakitangan dalam Bahagian IV dan V.
Bagi tahun ini, seramai tiga orang warga MSD telah menerima APT, iaitu Yang Mulia Awang Abdul Hakim bin Haji Mahali bagi Kumpulan A, Yang Mulia Dayang Sharifah Shah Rizan binti Shaikh Haji Said bagi Kumpulan B, dan Yang Mulia Dayang Asmah binti Haji Sabar bagi Kumpulan C.
Kumpulan A (bagi pegawai Bahagian II) :

Yang Mulia Awang Abdul Hakim bin Haji Mahali
Pegawai Perkhidmatan Pengurusan
Kumpulan B (bagi pegawai Bahagian III) :

Yang Mulia Dayang Sharifah Shah Rizan binti Shaikh Haji Said
Penyelia Pejabat
Kumpulan C (bagi kakitangan Bahagian IV dan V) :

Yang Mulia Dayang Asmah binti Haji Sabar
Kerani
Penganugerahan ini menjadi antara highlight penting MSD setiap tahun kerana pengiktirafan ini akan menjadi insentif yang setentunya akan meningkatkan lagi motivasi para pegawai dan kakitangan untuk menghasilkan kualiti kerja yang lebih cemerlang. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Jabatan untuk menyokong pelaksanaan Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) melalui Penarafan Bintang, yang antara lain menilai amalan penghargaan dan pengiktirafan kepada warga Jabatan.
MSD percaya bahawa usaha berterusan dalam mengiktiraf sumbangan pegawai dan kakitangan adalah antara pemangkin motivasi ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang positif, progresif, dan berdaya saing di sektor awam.