| 16 MEI 2026 - HARI TERBUKA ANUGERAH INOVASI PERDANA (AIP) 2026 GALAKKAN BUDAYA INOVASI DAN KERJASAMA STRATEGIK DALAM PERKHIDMATAN AWAM | Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD), Jabatan Perdana Menteri selaku Urusetia Anugerah Inovasi Perdana (AIP) telah menganjurkan Hari Terbuka AIP 2026 pada 16 Mei 2026 bertempat di Dewan Serbaguna, Bangunan Bahirah, Jabatan Audit. Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Ajman bin Haji Meludin, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali, Timbalan Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri; Yang Mulia Dr. Norfarizal bin Othman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; Yang Mulia Pengiran Mohd Fadly Harfinie bin Pengiran Haji Mohd Kassim, Pemangku Pengarah Perkhidmatan Pengurusan selaku Pengerusi Majlis; Ketua-Ketua Jabatan, rakan-rakan strategik daripada sektor swasta serta para pegawai dan kakitangan Kerajaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Rahim bin Awang Haji Ali, Pegawai Perkhidmatan Pengurusan, dan diteruskan dengan ucaptama Tetamu Kehormat serta lawatan ke pameran projek-projek inovasi daripada penyertaan AIP yang lalu.
Dalam ucaptamanya, Yang Mulia Awang Ajman bin Haji Meludin menekankan bahawa inovasi merupakan amalan teras dalam Perkhidmatan Awam sebagai pendekatan strategik yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan daya saing negara. Inovasi bukan sahaja tertumpu kepada penambahbaikan proses dalaman, malah merangkumi penghasilan penyelesaian terhadap cabaran semasa serta persediaan menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan yang berpunca daripada fenomena global. Beliau turut menegaskan bahawa dalam usaha memperkasa inovasi, warga Perkhidmatan Awam hendaklah mempunyai pemikiran yang tepat (right mindset), berani mencabar status quo, serta berpandangan jauh berasaskan keperluan sebenar rakyat. Dalam masa yang sama, para pemimpin juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif bagi membolehkan inovasi berkembang. Dalam pada itu, kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi pendidikan serta sektor swasta amat penting dalam memperkukuh ekosistem inovasi negara serta menyokong pelaksanaan pendekatan dan penyelesaian baharu yang inovatif serta berimpak tinggi.

Hari Terbuka ini merupakan aktiviti tahunan bertujuan untuk mempromosikan penyertaan AIP 2026 yang kini dibukakan kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam dan projek kerjasama bersama sektor swasta, di samping memberikan pendedahan mengenai pelaksanaan projek inovasi dalam Perkhidmatan Awam.

Antara agensi yang menyertai pameran tersebut ialah Pusat Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan; Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kementerian Pendidikan; Bahagian Point of Care Testing, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Pusat Jantung, Jabatan Kardiologi dan Unit Hematologi, Kementerian Kesihatan; serta Universiti Teknologi Brunei, Kementerian Pendidikan. Turut serta dalam pameran tersebut daripada rakan strategik sektor swasta ialah Brunei Innovation Lab dan Syarikat Imagine Sdn. Bhd.

Dalam usaha menggalakkan lebih banyak penyertaan, Kaunter Konsultasi AIP turut disediakan bagi memberikan panduan dan konsultasi kepada pihak yang berminat untuk menyertai AIP 2026. Tarikh tutup penyertaan AIP 2026 adalah pada 30 Mei 2026. Untuk maklumat lanjut, pihak yang berminat bolehlah menghubungi Urusetia AIP melalui emel aip@msd.gov.bn atau talian 2382064 / 2382065 / 2382066 sambungan 528 atau 529.
Penganjuran Hari Terbuka ini diharap akan dapat menyemarakkan budaya inovasi berterusan serta menggalakkan lebih banyak kementerian dan jabatan untuk menyertai Anugerah Inovasi Perdana (AIP) melalui projek-projek inovasi yang berkualiti dan berimpak dalam Perkhidmatan Awam di Negara Brunei Darussalam.
| | Attachments |
|
|