gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-33 Tahun 2026 telah diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan titah dan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Inovasi Perdana (AIP) kepada pemenang-pemenang AIP bagi tahun 2026.

Pada tahun ini, penyertaan AIP dibukakan kepada kementerian dan jabatan kerajaan, sama ada secara berkumpulan atau perseorangan, termasuk projek usaha sama antara agensi kerajaan dengan pihak swasta, khususnya yang memberikan impak kepada penambahbaikan kualiti perkhidmatan awam serta manfaat kepada rakyat. Sebanyak 33 projek telah menyertai AIP pada tahun ini, yang merupakan jumlah penyertaan tertinggi sejak AIP diperkenalkan pada tahun 2019. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 14 projek daripada lapan (8) kementerian telah berjaya disenarai pendek untuk menjalani penilaian lanjut. Penilaian projek telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Panel Penilaian dan Pemilihan AIP yang terdiri daripada wakil daripada sektor kerajaan, sektor swasta, dan institusi pengajian tinggi. Penilaian ke atas projek-projek yang dipertandingkan memberikan tumpuan kepada 5 kriteria dan ciri penilaian utama iaitu: Pemilihan Projek, Mekanisme Pelaksanaan Projek, Hasil dan Impak Projek, Cabaran dalam Pelaksanaan Projek serta Rancangan Lanjut Projek.

Hasil penilaian Jawatankuasa Panel Penilaian dan Pemilihan AIP, penganugerahan AIP bagi Projek tahun 2026 diberikan kepada:

  • Pemenang ANUGERAH EMAS telah dimenangi oleh Kumpulan “Integr8” dengan projek bertajuk “BANTUAN KECERDASAN BUATAN (A.I) PEMANGKIN TRANSFORMASI DIGITAL” dari Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menerima geran pembelajaran atau projek, sebuah piala dan sijil penghargaan.
  • Pemenang ANUGERAH PERAK telah dimenangi oleh Kumpulan “TIMS Titans” dengan projek bertajuk “TIMS: Tourism Information Management Systems” dari Unit Statistik, Bahagian Dasar, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri yang menerima geran pembelajaran atau projek, sebuah piala dan sijil penghargaan.
  • Pemenang ANUGERAH GANGSA telah dimenangi oleh Kumpulan “AEU TEMD TEAM” dengan projek bertajuk “APLIKASI HR Pulse (Human Resource Management System)” dari Unit Kejuruteraan Udara, Bahagian Pemeliharaan Kelengkapan Teknikal, Jabatan Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Kementerian Pertahanan yang menerima geran pembelajaran atau projek, sebuah piala dan sijil penghargaan.

Di samping itu, sebanyak tujuh (7) projek turut dipilih untuk menerima Anugerah Saguhati berupa sebuah piala dan sijil penghargaan. Penerima-penerima Anugerah Saguhati adalah:

  • Kumpulan AEU TEMD TEAM dari Unit Kejuruteraan Udara, Bahagian Pemeliharaan Kelengkapan Teknikal, Jabatan Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Kementerian Pertahanan bagi projek bertajuk “Aplikasi SMARTS (Service, Manufacturing and Repair Tracking System)”;
  • Kumpulan Skuad Rapid dari Bahagian Penguatkuasaan Akta (BPA), Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan bagi projek bertajuk “Sistem Rapid (Responsive Action For Planning Inspection & Documentation)”;
  • Kumpulan Gapura Perdana dari Pejabat Digital Experience, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi projek bertajuk “INSPIRE: Ekosistem Pengurusan Perkhidmatan Bersepadu EGNC”;
  • Kumpulan Al-Mursyidun dari Sekolah Arab Belait, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi projek bertajuk “CERDIK”;
  • Kumpulan The Data Brigade dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi projek bertajuk “Aset Siaga, Nyawa Terpelihara: Merevolusi Kesiagaan Aset Bomba Melalui Analitik Power BI”;
  • Kumpulan POC-Champion dari Bahagian Point of Care Testing, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan bagi kertas projek bertajuk “Digitalising National Point-of-Care Testing (POCT) Quality Management System via An-AI Augmented Dashboard”; dan
  • Kumpulan The Guardian of The Gates dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi kertas projek bertajuk “AEROGATES (E-Gate)”

Pelaksanaan AIP diharap akan terus menggalakkan dan mempergiatkan usaha pembaharuan dan inovasi dalam kalangan agensi Kerajaan, khususnya ke arah meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam demi manfaat rakyat serta mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035.