Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksPENDEKATAN AWAM OLEH AGENSI-AGENSI KERAJAAN

PENGENALAN

Pendekatan Awam secara kerap (Regular Public Engagement) merupakan salah satu inisiatif di dalam Rangka Kerja Perkhidmatan Awam , RKPA (Civil Service Framework, CSF) bagi membantu agensi kerajaan dalam menangani cabaran dari segi sosial dan ekonomi dan meningkatkan penglibatan orang ramai dalam perlaksanaan dasar / peraturan / program / projek yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan.

 

RASIONAL

Garispanduan Pendekatan Awam ini merupakan salah satu output di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam (Civil Service Framework) dengan objektifnya "To streamline government procedures and regulations to enable prompt decision making and provision of high quality services". Selain itu juga, keperluan mewujudkan garispanduan ini juga adalah hasil dapatan MSD semasa menjalankan Penilaian Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) Melalui Penarafan Bintang dan melalui penelitian ke atas usaha-usaha pembaharuan dan penambahbaikan dalam Perkhidmatan Awam yang mendapati mekanisme pemberigaan atau penyebarluasan mengenai dasar, peraturan, program dan projek adalah terhad dan ada yang tiada sama sekali. Tambahan lagi, usaha-usaha bagi mendapatkan maklumat, ide atau maklumbalas daripada orang ramai seperti kajiselidik, temuduga, sesi dialog, muzakarah dan sebagainya juga jarang sekali dilaksanakan. Aktiviti-aktiviti seperti ini adalah penting kerana ianya boleh membantu agensi-agensi kerajaan dalam merangka dasar-dasar yang sesuai dan menepati keperluan masyarakat serta penduduk di samping merapatkan lagi hubungan antara agensi kerajaan dengan orang ramai.


 
OBJEKTIF GARISPANDUAN

Garispanduan ini adalah bertujuan untuk:

 
(a) Menjadi rujukan dan panduan agensi-agensi kerajaan yang ingin melaksanakan sebarang aktiviti Pendekatan Awam;

(b)  Membantu agensi-agensi kerajaan mengenalpasti teknik atau kaedah Pendekatan Awam yang sesuai bagi mencapai objektif yang dihasratkan daripada aktiviti tersebut; dan

(c)   Membolehkan agensi-agensi kerajaan melaksanakan Pendekatan Awam dengan cara yang betul demi mempertingkatkan hubungan antara agensi-agensi kerajaan dengan orang ramai.


DEFINISI PENDEKATAN AWAM

Pendekatan Awam merupakan satu proses di mana pihak yang berkenaan mendapatkan input atau maklumat daripada orang ramai bagi membantu menangani sesuatu isu yang tertentu dan menggunakan input atau maklumat tersebut di dalam membuat keputusan.

Menurut The International Association for Public Participation (IAP2), terdapat lima (5) peringkat Pendekatan Awam seperti berikut:

Pelbagai kaedah Pendekatan Awam boleh dilaksanakan bergantung kepada objektif bagi melaksanakan Pendekatan Awam seperti berikut:

Inform [Maklumkan]: Memberikan / mengongsikan maklumat kepada orang ramai.

Consult [Muzakarah / Konsultasi]: Mendapatkan input dan maklumbalas daripada orang ramai untuk membantu dalam proses membuat keputusan.

Involve [Melibatkan]: Pertukaran maklumat dan perbincangan antara kedua-dua pihak mengambilkira pandangan dan isu yang ditimbulkan.

Collaborate [Bekerjasama]: Bekerjasama dengan orang ramai dan pihak berkepentingan untuk mewujudkan penyelesaian yang terbaik.

Empower [Memberi kuasa]: Keputusan terletak sepenuhnya di tangan orang ramai / komuniti.

 

FAEDAH MELAKSANAKAN PENDEKATAN AWAM

Pendekatan Awam dianggap penting di dalam proses pelaksanaan dasar / peraturan / program / projek yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan. Antara faedah yang boleh diperolehi dengan melaksanakan Pendekatan Awam adalah seperti berikut:

(a) Meningkatkan komunikasi, ketelusan, akauntabiliti dan keprihatinan terhadap orang ramai;

(b) Meningkatkan kefahaman terhadap kepentingan, keprihatinan dan keutamaan orang ramai;

(c)  Agensi-agensi kerajaan akan lebih fokus terhadap isu-isu yang lebih penting dan strategik;

(d)   Membolehkan agensi-agensi kerajaan untuk mengakses pengetahuan dan maklumat tertentu daripada orang ramai;

(e)  Membantu agensi-agensi kerajaan untuk mengenalpasti strategi yang sesuai bagi meningkatkan keberkesanan dasar / peraturan / program / projek;

(f)  Mengurangkan kesan / impak yang tidak diingini disebabkan oleh keputusan yang dibuat oleh agensi kerajaan; dan

(g)   Menyediakan platform yang positif untuk bekerjasama dan meningkatkan kepercayaan orang ramai untuk menyelesaikan sesuatu isu dan mencapai kesepakatan dalam pembuatan keputusan.